Ibnu Abbas r.a. menceritakan, “Pada suatu ketika Nabi s.a.w masuk ke kakus, lalu ku sediakan air untuk beliau wuduk. Beliau bertanya,”Siapakah yang meletakkan air ini?” Maka dijawab orang bahawa aku yang meletakkannya. Lalu beliau berdoa, “Ya Allah, berilah dia pengertian yang dalam mengenai agama.”
Abu Hurairah r.a mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tidak diterima sembahyang orang yang berhadas kalau dia tidak berwuduk.” Bertanya seorang lelaki dari Hadramaut,”Apakah hadas itu?”
Jawab Hurairah ,”Kentut tidak berbunyi atau berbunyi.”
Usamah Bin Zaid r.a menceritakan, “ Pada suatu ketika Rasulullah s.a.w berangkat dari Arafah untuk melakukan perjalanan. Ketika beliau sampai disebuah jalan pada suatu bukit, beliau turun dan membuang air kecil di situ. Kemudian beliau berwuduk dengan bersederhana sahaja.”
Saya bertanya kepada beliau, “Apakah kita akan bersembahyang ya Rasulullah?”
Jawab Nabi, “Nanti, ditempat perhentian dimuka.” Rasulullah s.a.w menaiki kenderaannya kembali. Setelah sampai di Muzdalifah beliau turun semula dan berwuduk dengan sempurna. Kemudian orang qamat sembahyang Maghrib. Tiap-tiap orang menyuruh untanya berlutut (istirehat) di perhentian itu. (Tidak lama sesudah itu) orang qamat semula untuk sembahyang Isyak dan langsung melakukan sembahyang. Antara keduanya (Maghrib dan Isyak) Nabi tidak sembahyang(sunat).