Sunday, June 26, 2011

Bab Wuduk (No Hadith: 97)

Dari Nu’aim Bin Mujmir r.a katanya, "Saya naik ke loteng masjid bersama Abu Hurairah lalu ia berwuduk." 

Sesudah itu ia berkata,"Saya dengar Rasulullah s.a.w bersabda,""Sesungguhnya umatku dipanggil di hari kiamat nanti dengan ‘Ghurran Muhajjalin’ , kerana bekas wuduknya (bercahaya). Siapa yang ingin memanjangkan ghurrannya, hendaklah diperbuatnya."

  (Diriwayatkan oleh al-Bukhari : no.97)



Bab Wuduk (No Hadith: 96)


Abu Hurairah r.a mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tidak diterima sembahyang orang yang berhadas kalau dia tidak berwuduk.” Bertanya seorang lelaki dari Hadramaut,”Apakah hadas itu?
Jawab Hurairah ,”Kentut tidak berbunyi atau berbunyi.”

  (Diriwayatkan oleh al-Bukhari : no.96)



Bab Wuduk (No Hadith: 99)


Usamah Bin Zaid r.a menceritakan, “ Pada suatu ketika Rasulullah s.a.w berangkat dari Arafah untuk melakukan perjalanan. Ketika beliau sampai disebuah jalan pada suatu bukit, beliau turun dan membuang air kecil di situ. Kemudian beliau berwuduk dengan bersederhana sahaja.

Saya bertanya kepada beliau, “Apakah kita akan bersembahyang ya Rasulullah?

Jawab Nabi, “Nanti, ditempat perhentian dimuka.” Rasulullah s.a.w menaiki kenderaannya kembali. Setelah sampai di Muzdalifah beliau turun semula dan berwuduk dengan sempurna. Kemudian orang qamat sembahyang Maghrib. Tiap-tiap orang menyuruh untanya berlutut (istirehat) di perhentian itu. (Tidak lama sesudah itu) orang qamat semula untuk sembahyang Isyak dan langsung melakukan sembahyang. Antara keduanya (Maghrib dan Isyak) Nabi tidak sembahyang(sunat).

  (Diriwayatkan oleh al-Bukhari : no.99)